Bismillahirahmanirrahim
Selawat dan salam
Pagi ini 8.29am, 14/01/2023. Bunyi guntur kedengaran di langit. Cuaca pagi ini dan dari awal subuh tadi, hujan turun dengan lebatnya. Saya dan pekerja tetap bersedia untuk berkerja. Hujan masih belum berhenti. Tiada tanda-tanda hujan berhenti. Namun tetap bersedia sekiranya hujan reda. Beginilah semangat berkerja di ladang. Harus cekal dengan apapun situasi dan keadaan. Saya balik ke rumah meredah air hujan setelah tadi bersama pekerja berharap mereka dapat berkumpul untuk menaiki kenderaan ke tempat kerja.
Pondok tempat berkumpul, pekerja penuai (dalam gambar) Ali Kodor
Di rumah, hujan berterusan. Saya menanti sarapan pagi sebelum pergi ke pejabat. Bunyi guntur berdentum di langit berterusan. Bunyi air di atap rumah sekali sekala perlahan dan kuat. Tanda hujan masih tidak mahu berhenti lagi. Bersama saya di pondok rumah pekerja, encik hamiz (lebih kurang nama arwah bapa mertua, al-fatihah untuk arwah bapa mertua saya, aamiin). Encik hamiz, rakan sejawat yang tak lama lagi pencen, tapi sempat bersama beliau bertugas di ladang ini. Baru berpindah tahun lalu ke Aring 05. Umur beliau 59 tahun, mengingatkan diri saya beza 10 tahun dengan beliau. Dia masih sihat dan bertenaga dalam usianya sekarang. Alhamdulillah, semoga encik hamiz diberikan kesihatan berpanjangan. Aamiin.
Menanti isteri menyediakan sarapan pagi, wangian dari dapur dan saya berbaringan di ruang tamu sambil mencatat situasi sekarang ini. Tumpuan masih pada keadaan di luar yang belum ada perubahan, hujan sekali sekala lebat dan berhenti dan disambung dengan bunyi 'gendang langit' bertalu-talu dan hujan melebat lagi.
Hmmm...coretan ini terzahir dek keadaan semasa memberi ruang dan peluang.
Jam 9.05 pagi, hujan masih lebat di luar. Alhamdulillah siap sarapan pagi bersama isteri (terima kasih selalu).